
Congkak ialah sejenis permainan tradisional melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Di utara semenanjungnya dipanggil sebagai jongkok.
Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir dengan bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran melayu. Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah. Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang besar dan dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak.